KUCHING:  Boleh dilanjutkan tetapi dengan kelonggaran tertentu.

Itu pendirian Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah  sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar dilanjutkan selepas 14 April ini. 

Pelbagai pihak termasuk pakar berpendapat PKP wajar dilanjutkan bagi memastikan usaha selama ini tidak sia-sia dan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang

Namun, Abdul Karim yang mewakili Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata kelonggaran tertentu  perlu dalam tempoh lanjutan itu nanti dengan mengambil kira aktiviti perniagaan.

“Kelonggaran mungkin berkenaan dengan mereka berniaga atau masa operasi ditetapkan sama ada boleh dilonggarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Beliau berada di KLIA untuk menyambut ketibaan pesawat kargo yang membawa peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan bekalan perubatan

Ujar beliau, pelaksanaan corak PKP sedemikian perlu bagi memastikan  statistik yang terkena jangkitan Covid-19 doi negeri ini tidak bertambah.

Beliau berkata,  keadaan di Sarawak  semakin stabil dan dijangka tidak berdepan kluster besar daripada perhimpunan awam seperti dari gereja atau tabligh.