Patut disambung atau tidak disambung? Itulah persoalannya berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sama ada untuk menyambung atau tidak menyambung, setiap satu punya kelebihan dan kekurangannya, kebaikan dan keburukan.

Ini bukan soal main-main atau remeh. Satu keputusan tepat perlu dibuat.

Ini soal mengutamakan nyawa atau ekonomi. 

Jika nyawa hendak diutamakan, maka kita tidak ada pilihan, melainkan perlu menyambung tempoh PKP.

Jika kita takut ekonomi terus merudum, maka PKP tidak perlu dilanjutkan. Tetapi itu bukan persoalan utama. Yang jauh lebih penting sekarang ialah nyawa rakyat. Jangan sampai kita mengalami keadaan seperti di beberapa negara lain.

Covid-19  terus mengganas di seluruh dunia kini melebihi angka 1.5 juta orang ketika pakar bergelut dengan masa untuk mencari penawar mujarab dan sesetengah negara berdepan krisis kesihatan yang teruk.

Kajian Johns Hopkins mendapati bahawa 1,500,830 orang telah dijangkiti virus itu.

Angka terkini mengikut worldometer mengenai jumlah yang meninggal dunia ialah  88,403 orang. Setiap minit akan ada yang meninggal dunia.

Ada sinar apabila 329, 731 individu  telah pulih sepenuhnya.

Amerika Syarikat (AS) mencatat jangkitan paling tinggi dengan lebih daripada 430,210 orang dengan 14,736 kematian.

Itali terus berada di tangga teratas dari segi kematian sebanyak 17,669, diikuti Sepanyol 14,792 kematian. Ini diikuti Perancis dengan 10,869 kes kematian.

Virus itu telah merebak ke sekurang-kurangnya 184 negara dan wilayah selepas pertama kali dikesan di bandar Wuhan, China pada Disember tahun lalu.

Malaysia telah mencatat 65 kematian dengan jumlah kes positif Covid dicatatkan 4,119.

PKP fasa pertama telah dilaksanakan dari 18 Mac hingga 31 Mac. Kemudian ia dilanjutkan dari 1 April hingga 14 April ini.

Apakah faktor yang perlu diambil kira sama ada hendak melanjutkan PKP atau tidak?

Pertama, tentu trend atau jumlah kes positif Covid-19 yang dicatatkan di seluruh negara.

Kedua, usaha berterusan untuk memutuskan rangkaian penyebaran.

Berdasarkan perkembangan semasa, kelihatannya kita tidak ada pilihan.

PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman esok.

Foto HIAS.org

Apa-apa pun, keputusannya ia pastinya dinantikan rakyat di seluruh pelosok tanah air.

Memang, tidak mudah untuk diam di rumah selepas hampir tiga minggu berkurung, lebih-lebih lagi bagi yang biasa ligat di luar.

Sebahagian rakyat mengharapkan ia tidak dilanjutkan selepas memasuki minggu ketiga pelaksanaan PKP.

Mereka ingin kembali kepada kehidupan normal, namun kerajaan pastinya akan membuat keputusan tepat berdasarkan situasi semasa kes Covid-19 di negara ini.

Keputusan kerajaan itu tentu mengambil kira semua faktor dan keadaan berdasarkan data, fakta dan sains serta kemungkinan yang bakal berlaku terhadap opsyen yang dipilih.

Sebuah portal berita telah membuat tinjauan tentang pendirian rakyat di negara ini. Tinjauan BH di media sosial menunjukkan majoriti pengguna bersetuju jika PKP fasa kedua yang sepatutnya berakhir 14 April ini, dilanjutkan.

Menurut BH, menerusi kaji selidik  sejak jam 2.45 petang Rabu, sebanyak 85 peratus atau 150,450 pengguna Facebook menyatakan kesepakatan berhubung perkara itu, manakala selebihnya, iaitu 26,550 (15 peratus) tidak bersetuju.

Maklum balas menerusi Twitter, setakat jam 8 malam Selasa pula menyaksikan seramai 1,908 pengguna atau 77 peratus menyokong supaya tempoh PKP dilanjutkan, manakala 570 pengguna (23 peratus) menolak.

Sementara itu, jelas akhbar itu,  semakan di ruang komen pengguna kedua-dua media sosial mendapati wujud pelbagai reaksi berhubung pertimbangan sama ada PKP yang mula berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu dan bakal berakhir 14 April ini wajar dilanjutkan atau sebaliknya.

Kita sudah masuk hari ke-23  PKP dilaksana di negara ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Namun menjelang enam hari lagi sebelum perintah itu berakhir, kebimbangan tercetus apabila statistik kes ingkar arahan itu menunjukkan peningkatan. 

Bayangkan keadaannya jika PKP sudah tidak ada lagi. Dengan adanya PKP pun ramai yang tidak ambil peduli, termasuk dari segi pembatasan sosial.

Malah, kebimbangan itu turut disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar hariannya. Beliau menyatakan masih terdapat aktiviti pergerakan yang tidak dibenarkan seperti, kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara dalam tempoh PKP.

Malah kenderaan di jalan raya juga didapati semakin meningkat.

Setakat semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan tangkapan individu yang melanggar arahan PKP meningkat 13 peratus atau 454 orang pada Selasa, berbanding 403 (Isnin).

Ramai dalam kalangan pembaca Astro AWANI berpendapat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir pada 14 April ini wajar dilanjutkan.

Berdasarkan pungutan suara yang dilakukan Astro Awani di Twitter pada Ahad, 79.7 peratus daripada 30,849 responden memilih untuk tempoh PKP dilanjutkan lagi, sementara 20.3 peratus lagi berpendapat sebaliknya.

Trend yang sama juga dilihat di aplikasi Telegram apabila 85 peratus daripada 3,200 responden mahu tempoh tersebut dilanjutkan.

Sementara itu,  kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 turut meningkat kepada 23 lokasi seluruh negara, selepas daerah Sepang di Selangor dan Kota Samarahan, Sarawak mencatat kes lebih 41 pada Selasa.

Rakyat bagai tidak membaca dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di dunia dan negara luar. Setakat ini lebih daripada 1.4 juta telah dijangkiti dan lebih daripada 82,000 telah meninggal angkara Covid-19.

Bagi memastikan keberkesanannya  penguatkuasaan PKP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah lebih tegas dengan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar PKP.

Akademi Perubatan Malaysia menggesa kerajaan melanjutkan PKP sehingga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kumpulan profesional itu, balik kampung secara beramai-ramai akan memburukkan lagi penyebaran wabak Covid-19.

Menurut mereka,  pembatasan sosial akan gagal apabila perantau yang balik beraya berkumpul di hentian serta kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya.

“Penarikan balik PKP atau penguatkuasaan yang terlalu longgar akan menyebabkan segala kebaikan yang telah dicapai daripada duduk di rumah selama empat minggu kebelakangan ini, menjadi sia-sia,” kata mereka dalam satu kenyataan.

“Perang melawan Covid-19 masih jauh lagi, banyak pengorbanan yang telah dan akan terus dilakukan dalam tahun ini,” kata kumpulan itu lagi.

Ia menegaskan pembatasan sosial perlu terus dilakukan sehinggalah vaksin baru ditemui.

“Disebabkan pandemik Covid-19, pembatasan sosial perlu menjadi norma baharu sekurang-kurangnya untuk satu tempoh waktu sehingga keadaan menjadi terkawal …

“[…] Untuk tahun ini sekurang-kurangnya, perlu ada kawalan, pemantauan atau mungkin haramkan perhimpunan, sama ada perhimpunan Ramadan, Aidilfitri, atau Haji,” kata kumpulan itu.

Sudah pasti, jika ia dilanjutkan, ia akan memberi kesan sosiekonomi kepada rakyat terutamanya terhadap golongan miskin dan tidak mampu.  Ekonomi akan melemah, dan perusahaan kecil dan sederhana akan semakin terjejas. Hakikatnya, hampir semua sektor ekonomi terjejas oleh Covid-19 dan pelaksanaan PKP.  Dunia dan negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.

“Kami sedar pandemik ini telah dan akan terus mempunyai kesan negatif yang besar terhadap semua aspek ekonomi Malaysia,” kata kumpulan tersebut lagi seperti dipetik Malaysiakini. 

Sebab itulah, jelasnya,  pendekatan menyeluruh yang kuat diperlukan, baik di pihak kerajaan mahupun rakyat.

Kita perlu terus berkorban jika kita mahu menang dalam peperangan ini. Kita perlu melanjutkan tempoh PKP walaupun dengan hati yang berat. Jika ini pilihan terbaik untuk keselamatan dan kesihatan rakyat, maka PKP perlu dilanjutkan.