KABONG: Sebagai tanda sokongan kepada sumbangan pihak barisan hadapan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Cobid-19 di Klinik Kesihatan Kabong, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong tampil menghulur sumbangan berupa penyediaan kanopi di luar bangunan Klinik Kesihatan sebagai tempat operasi petugas klinik dan orang ramai yang datang ke klinik di sini.

Pengerusi PIBG SK Abang Leman, Johan Haji Rahman memberitahu pihak PIBG berasa simpati dengan petugas di klinik berkenaan yang terpaksa menggunakan kawasan tempat letak kereta yang sempit untuk melakukan saringan dan pemeriksaan kesihatan kepada orang ramai yang datang ke situ.

Kata Johan, ketika pelaksanaan PKP sekarang ini orang ramai yang berurusan untuk mengambil ubat hanya akan berurusan di kanopi luar klinik bersama petugas yang sedia menunggu di situ.

“Hanya mereka yang ada temujanji dengan doktor sahaja yang akan dibenarkan masuk ke dalam klinik berkenaan untuk berurusan.Ini adalah sebagai langkah mengelak berlaku penularan dan jangkitan Covid-19.

“Dengan rasa prihatin dan simpati kepada jasa baik dan pengorbanan petugas barisan hadapan maka pihak PIBG tampil memasang dua buah kanopi untuk kemudahan pihak barisan hadapan Klinik Kesihatan Kabong.

Ini bagi mengelakkan mereka daripada panas matahari dan juga hujan semasa berkhidmat untuk masyarakat ketika ini.

“Kanopi tersebut dipinjamkan secara percuma sehingga tamat tempoh PKP. Pihak klinik Kesihatan amat menghargai bantuan kami dan mereka telah mengucapkan terima kasih kepada pihak PIBG atas tindakan tersebut ” ujarnya.