KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan satu lagi kematian akibat Covid-19 menjadikannya 13 kesemuanya.

Mangsa, seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak berusia 23 tahun.

Pelajar itu tinggal di Kota Samarahan, sekitar setengah jam perjalanan dari sini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan menyatakan kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit telah juga disahkan positif Covid-19.

“Kes telah menghadapi kesukaran untuk bernafas pada 30 Mac yang lalu dan telah dimasukkan ke wad ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Umum Sarawak pada hari yang sama,” jelasnya.

Pesakit meninggal dunia pada jam 8.42 pagi tadi.

Sementara itu, enam lagi ke baharu positif Covid-19, menjadikan bilangan kes di Sarawak sebanyak 312 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

“Daripada enam kes tersebut, lima kes dirawat di Hospital Umum Sarawak dan satu kes di Hospital Bintulu,” katanya lagi.