KUALA LUMPUR: Bagi membendung pandemik Covid-19 dengan sebaik-sebaiknya, setiap negara perlu meningkatkan jumlah saringan terhadap warga mereka.

Katanya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak  langkah ini sebagaimana diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berulang kali mengatakan mesti melakukan ujian demi ujian.

“Saya faham KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sedang kuat berusaha untuk menaikkan kapasiti membuat ujian Covid-19 di Malaysia tetapi ini adalah prioriti paling tinggi dan kita tidak boleh jatuh jauh ke belakang negara-negara lain,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata saringan percuma atau pada kos yang sangat rendah perlu ditawarkan dan dipermudahkan kepada setiap rakyat yang rasa mereka telah terdedah kepada risiko dijangkit.

“Kos membuat saringan ini adalah satu pelaburan yang amat berbaloi dan memberi pulangan yang tinggi kepada negara,” jelas beliau lagi.

“Saiz ekonomi kita sebanyak RM1.5 trilion setahun atau sekitar RM4 bilion setiap hari.

“Jadi, kiralah sendiri apakah pulangan kepada negara jika kita berjaya memendekkan tempoh ancaman COVID-19,” jelasnya.

“Kapasiti kita untuk membuat ujian COVID-19 yang tepat dan pantas mesti dinaikkan dan dijadikan antara prioriti utama negara pada masa ini.

“Setiap kontak rapat dengan kes positif mesti dikuarantin secara mandatori – termasuk mereka yang didapati negatif dalam ujian pertama.

“Ada kontak dengan kes positif? Kuarantin 14 hari seorang diri secara mandatori. Tak kira ujian kamu positif, negatif atau tidak menunjukkan gejala,” katanya.