MATU: Terlanjur perahu dapat diundur, terlanjur kata buruk padahnya.

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Jangan ikut emosi, gunakan fikiran dan kewarasan.

Tetapi seorang lelaki di sini mungkin tidak pernah belajar daripada kearifan orang tua dan peribahasa Melayu.

Kesudahannya, satu laporan polis telah dibuat gara-gara tindakannya tanpa memikirkan implikasi.

Pemilik dengan nama akaun Abang Ikhsan Ghani memuat naik imej negatif berkaitan Pakej Bantuan Makanan yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat tanpa pilih kasih ekoran Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Kerajaan Sarawak telah memperuntukan sekitar RM16 juta untuk bantuan makanan bagi membantu golongan yang memerlukan di bandar dan luar bandar di negeri ini.

Ia disifatkan sebagai langkah prihatin akan nasib dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan kawasan atau ideologi politik.

Abang Ikhsan telah memuat naik imej empat individu dan tangan dengan ayat “Apa khabar bantuan PKP Covid019 pada 3 April lalu.”

Individu dalam ilustrasi digambarkan seakan-akan menghulurkan wang daripada jumlah RM8,000 sebelum menyusut ke sebelah tangan yang tertulis N44, sekali gus memberi gambaran negatif kepada pihak terbabit seolah-olah berlaku penyelewengan.

Difahamkan pemilik akaun telah ditahan dan disiasat polis selepas laporan polis dibuat oleh pegawai Pusat Khidmat N44 Jemoreng bersama-sama Pegawai daerah Matu, Penghulu Kampung Tian Matu, ketua masyarakat dan NGO.

Tertuduh telah mengemukakan permohonan maaf kepada  pelbagai pihak terbabit.