MUKAH: Hendak melepaskan gian atau apa?

Atau resah duduk di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Kita tidak faham apa yang bermain di kepala sekumpulan lelaki tempatan di sini apabila mereka mengambil keputusan untuk menyaksikan  permainan sabung ayam.

Kesudahannya ada daripada  mereka dijaring polis.

Kejadian itu berlaku di Jalan Ulu Bayan pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau, kumpulan lelaki tersebut bertempiaran lari setelah mendapati kehadiran polis di lokasi tersebut sekitar jam 3.10 petang.

Katanya, lima orang daripada lelaki terbabit ditahan sepasukan anggotanya yang melakukan rondaan memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Lima individu yang ditahan berusia antara 53 hingga 71 tahun kerana tidak larat hendak melarikan diri berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika disiasat, beliau berkata, kelima-lima lelaki berkenaan faham akan pelaksanaan PKP.

“Tidak tahan duduk di rumah antara alasan yang diberi,” katanya.

Kesemua suspek telah dibawa ke IPD mukah untuk siasatan lanjut.