LIMBANG: Jawatankuasa Perlesenan, Penguatkuasaan dan Kebersihan Majlis Daerah Limbang yang mengadakan mesyuarat bersetuju mematuhi arahan Ketua Menteri bahawa Bazar Ramadan dan Bazar Gawai tidak akan dilaksanakan di Daerah Limbang pada tahun ini.

Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian bin Mohat berkata ini termasuklah kampung dan kawasan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Limbang.

“Kami Majlis Daerah Limbang telah pun membuat ketetapan untuk tidak membenarkan mana-mana Bazar khususnya di kawasan bandar dan juga melibatkan kampung serta kawasan di bawah Majlis Daerah Limbang terutama sekali di kawasan Tedungan dan Medamit,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Majlis Daerah Limbang pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perlesenan, Penguatkuasaan dan Kebersihan Majlis Daerah Limbang mencadangkan peniaga berniaga dari rumah dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran atau meminta pembeli mengambil tempahan di rumah mereka.

“Kita mencadangkan kepada peniaga-peniaga supaya meneruskan perniagaan di rumah.

“Maksudnya, mereka boleh membuat penghantaran ataupun meminta kepada pembeli untuk mengambil barang-barang di rumah supaya perniagaan ini tidak putus dan mereka masih ada pendapatan,” ujarnya.

Pada Ahad lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan pembatalan Bazar Ramadan dan Bazar Gawai di seluruh Sarawak selepas mengambil kira keadaan penularan COVID-19 yang masih belum menampakkan pengurangan.