KUCHING: Tumpuan akan diberi kepada  penduduk di kawasan zon merah.

Itu pendirian Kerajaan Sarawak berkaitan agihan topeng yang ditempah dari China.

Dua kawasan yang kini dikategorikan dalam zon merah ialah Kuching dan Kota Samarahan. 

Kuching telah mencatatkan 188 kes positif Covid-19 manakala Kota Samarahan 52 kes setakat semalam.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, topeng berkenaan telah sampai di sini  untuk diagihkan kepada para penduduk oleh Jawatankuasa Pengurusan bencana Negeri Sarawak.

“Topeng berkenaan akan diagihkan secara percuma,” jelas beliau pada sidang media.

Topeng terbabit akan diagihkan kepada 520,647 isi rumah di semua bahagian dan daerah di negeri ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menasihati orang ramai supaya memakai topeng muka sebagai cara untuk mencegah daripada dijangkiti virus corona.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan keutamaan pemakaian topeng muka perlu mengikut syor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu membabitkan individu yang mempunyai gejala wabak berkenaan.

Kebanyakan  farmasi di negeri ini berdepan  kehabisan stok barang kawalan itu baru-baru ini ketika penularan wabak Covid-19 semakin membimbangkan

Difahamkan, empat kilang menghasilkan topeng mulut dan hidung di negara ini, namun kini pengeluaran tidak mampu menampung permintaan terlalu tinggi.

Empat kilang terbabit bukan sahaja menghasilkan produk topeng mulut dan hidung untuk pasaran tempatan malah untuk pasaran eksport.