KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  berpuas hati dengan operasi pengagihan makanan  kepada penduduk di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman di negeri ini di bawah pakej bantuan makanan Kerajaan negeri.

Menurut Ketua Menteri operasi berkenaan yang bermula Ahad lepas berjalan dengan lancar berkat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk tentera, polis, pemimpin tempatan dan sukarelawan.

“Mereka ini menyumbang bakti bagi memastikan operasi pengagihan adalah  tersusun, khususnya untuk kawasan luar bandar dan pedalaman,” kata beliau pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sekitar RM16 juta untuk bantuan makanan kepada golongan miskin dan yang memerlukan bantuan ketika negeri berdepan wabak Covid-19.

Sarawak menyaksikan 12 kematian akibat virus corona setakat ini.

Abang Johari berkata, Tabung Covid-19 Sarawak setakat ini berjaya mengutip RM13.86 juta hasil sumbangan 20 syarikat korporat yang akan digunakan untuk urusan operasi dalam tempoh  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP  yang bermula 18 Mac akan berakhir pada 14 April ini.

Difahamkan kerajaan persekutuan sedang mempertimbangkan sama ada untuk melanjutkan tempoh PKP.