BINTULU: Pengagihan bantuan makanan bagi kawasan DUN Kakus diteruskan semalam dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tatau, BDA, Polis Daerah Tatau dan petugas di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat GPS DUN Kakus termasuk Ketua masyarakat dan Ketua kaum Daerah Tatau.

Pengagihan bantuan berupa beras, minyak masak, gula, mi segera, kopi, teh dan sebagainya itu melibatkan 686 Ketua Isi Rumah (KIR) di empat lokasi pusat penghantaran masing-masing di SK Tayai, Nanga Sidang, Rumah Ulen, Nanga Tekalit, Sangan, Tatau, Ulu Kakus dan Sungai Sangan.

Lokasi pusat pengagihan di SK Tayai melibatkan seramai 229 KIR dari sembilan rumah panjang –
Rumah Joshua Renang, Rumah Suran Unow, Rumah Robinson Ak Lingon, Rumah Norma Sanggat, Rumah Bair Ak Mam, Eumah Oyau Ak Kanyen, Rumah Roseta Ak Lua, Rumah Ngumbang Ak Ajum dan Rumah Achun Imban.

Pusat pengagihan bantuan di Rumah Ulen pula melibatkan 153 KIR dari lapan rumah panjang iaitu Rumah Dora, Rumah Micheal Junus, Rumah Ulen Segaya, Rumah Abong,Rumah Joseph Adam, Rumah Rundi Lanyau, Rumah Gundi Chunggat dan Rumah Enjan Gos.

Pengagihan bantuan di kawasan Ulu Kakus melibat 113 KIR manakala bagi Sungai Sangan pula melibatkan 132 KIR.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang – Undang dan Adat Bumiputera) merangkap ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai berharap sumbangan yang diberikan ini, secara tidak langsung membantu dalam meringankan beban setiap keluarga yang tidak dapat keluar mencari rezeki sama ada ke kebun persendirian atau ladang kelapa sawit tempat mereka bekerja sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan.

Beliau berkata, Pusat Khidmat GPS DUN Kakus akan mengagihkan bantuan ke kawasan lain di dalam DUN Kakus meliputi rumah panjang yang kebanyakannya di bawah pentadbiran Daerah Tatau, dan sebahagian di Daerah Selangau dan Mukah.

Jumlah isi rumah atau pintu di bawah DUN Kakus adalah sebanyak 6243 buah, tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati penduduk terutama di kawasan DUN Kakus supaya kekal berada di rumah dan patuh kepada arahan PKP selain sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran.