Ketika jumlah mereka yang positif Covid-19 naik mendadak di seluruh dunia berbanding tempat asalnya wabak ini bermula, Wuhan mencabut “lockdown”nya mulai hari ini.

Warga kota dengan kod hijau pada aplikasi telefon pintarnya boleh memindai kod QR dan dibenar keluar kota, untuk pertama kali sejak 23 Januari lepas.

Jalan raya kini dibuka dengan kenderaan dan kereta api mulai beroperasi.

Warga yang bekerja di bidang farmasi dan kesihatan serta pembekal barangan penting global dibenarkan kembali bekerja.

Sebanyak 200 penerbangan turut dijadualkan bertolak dari Wuhan pada Rabu mengangkut 10,000 penumpang.

Bagaimanapun, sekolah masih ditutup dan beberapa perjalanan pengangkutan awam masih dilarang.

Pada Selasa China buat pertama kali melaporkan tiada kematian akibat Covid-19 ketika rekod dunia menunjukkan jumlah jangkitan mencapai 1.4 juta kes dan kematian melonjak 82,000.

AS mencatat jumlah jangkitan tertinggi 400,000 kes bersamaan lima kali ganda rekod China dan kematian lebih 12,000 jiwa, empat kali ganda China.

Kini empat negara Eropah; Sepanyol, Itali, Perancis dan Jerman berada pada tangga teratas China mencatatkan jangkitan Covid-19 hampir setengah juta orang dengan kematian lebih 43,000 iaitu 14 kali ganda kematian di China.

Di Wuhan, bulan lalu kota itu melaporkan tiada kes baharu dalam seminggu ketika negara di dunia terkesan diserang wabak berkenaan.