BETONG: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah tidak mahu ketinggalan menghulur sumbangan kepada barisan hadapan (frontliners) semasa berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semalam pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima sumbangan berupa buah nanas segar daripada Uggah yang disampaikan melalui Jabatan Pertanian Bahagian Betong.

Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Petrus Kang menyerahkan sumbangan buah nanas berkenaan bagi mewakili Uggah kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong,Vincent Baling Anak Yabi. Penyerahan turut disaksikan oleh Pegawai Operasi BBP Betong, PBK I Henry Jugah.

“Terima kasih kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dr. Richard Rapu kerana amat prihatian kepada kami pasukan barisan hadapan di Bahagian Betong.

“Kami amat berbesar hati menerima sumbangan berkenaan dan rasa terharu kerana Datuk Amar Douglas Uggah ingat dengan kami dan juga menghargai sumbangan kami pada masa memerangi wabak Covid-19,”ujar Vincent.