KUALA LUMPUR: Personaliti penyiaran dan pakar strategi media tanah air Suhaimi Sulaiman telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu bagi tempoh satu tahun berkuatkuasa 1 Feb lepas.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Azmi Ariffin dilantik semula sebagai Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama, juga bagi tempoh satu (1) tahun berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah ketika mengumumkan perkara ini dalam satu kenyataan hari ini, berkata Suhaimi menggantikan tokoh media Datuk Seri Azman Ujang.

“Kementerian mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Azman atas perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Bernama sejak tahun 2016,” katanya  seperti dilapor Bernama.

Menteri itu turut mengumumkan pelantikan barisan 12 Anggota Lembaga Pengelola Bernama dan empat Anggota Majlis Penyeliaan Bernama, yang berkuat kuasa bagi tempoh perkhidmatan yang sama.

Saifuddin berkata pelantikan mereka telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan peruntukan Akta Bernama 1967 [Akta 780].

Suhaimi, 57, yang berpengalaman dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang saluran berita TV Astro AWANI.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City University, Bellevue, Washington, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Portland State University, Portland, Oregon, Amerika Syarikat.