KUCHING: Seorang remaja lelaki ditahan atas kesalahan merogol kekasihnya yang masih bersekolah di tingkatan 3.

Perbuatan itu terbongkar ketika remaja perempuan berusia 15 tahun itu mendapatkan rawatan di Klinik Komuniti Batu Kawa kerana mengadu sakit pada 1 April lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, laporan polis dibuat oleh doktor yang merawat mangsa, setelah mendapatinya mengandung lebih kurang tujuh minggu.

“Mangsa mengatakan kandungannya adalah hasil hubungan dengan seorang kawan lelaki yang tinggal di Kampung Segedup, Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Aidil berkata mangsa dari Taman Genesis, Matang telah mengenali dan menjalin hubungan dengan suspek sejak Ogos 2019.

Katanya hubungan mereka juga diketahui oleh keluarga masing-masing.

“Mangsa mengaku telah melakukan hubungan seks atas dasar suka sama suka.

“Kejadian berlaku sekali sahaja iaitu di ruang tamu rumah suspek di Kampung Segedup semasa ketiadaan ahli keluarga suspek kerana keluar bekerja.

“Kejadian telah berlaku pada Januari lalu iaitu pada sebelah malam,” katanya.

Susulan itu, Aidil berkata anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Padawan telah menangkap suspek sekitar jam 4 petang semalam.

Katanya suspek yang berusia 18 tahun juga mengaku ada melakukan hubungan seks dengan mangsa.

Aidil berkata suspek telah direman hari ini bagi membantu siasatan.