PUTRAJAYA: Selari dengan syor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan akan mengagihkan 24.62 juta topeng muka secara percuma kepada setiap isi rumah di negara ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan akan mengagihkan secara percuma empat keping topeng muka bagi setiap isi rumah seluruh negara seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Proses penghantaran ke Sabah dan Sarawak pula, beliau berkata, akan digerakkan menggunakan penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Jumaat ini.

Jelas beliau, topeng muka itu telah diedarkan ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah untuk digihkan kepada setiap isi rumah.

“Sebanyak 24.62 juta topeng muka sedang dalam proses pengedaran oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysai (APAM) yang diedarkan ke Majlis Keselamatan Negeri ,” jelas beliau.

Katanya lagi, seterusnya  topeng berkenaan akan diedarkan  ke peringkat daerah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan diagihkan rumah ke rumah melalui petugas barisan hadapan.