KUALA LUMPUR:  Menteri di Jabatan di Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  menjelaskan belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini.

Justeru beliau  dalam satu kenyataan hari ini menyeru seluruh umat Islam agar tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara berkenaan.

Kenyataan itu susulan penjelasan dibuat Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

“Pada bulan lepas, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19,” katanya. 

Jelas beliau lagi, bertitik tolak daripada hal tersebut, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia pada 7 April lalu.

“Turut hadir, Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an, Atase Agama Kedutaan Arab Saudi; Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji dan  Ruslan Said,Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR),” kata beliau.

Tambah beliau, pelaksanaan ibadah haji adalah antara perkara yang penting dalam merealisasikan Rukun Islam.

Ujarnya, wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini, turut memberi kesan kepada Arab Saudi yang menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

“Pada bulan lepas, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19,”  kata beliau lagi.