KETIKA berkurung di dalam rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu, saya sempat membelek dan membaca beberapa buah buku dalam perpustakaan peribadi saya berkaitan dengan wabak dahsyat yang pernah melanda dunia. 

Sebenarnya, banyak sekali buku berkaitan dengan pandemik 1918. Ini termasuk 

Pandemic 1918 karya Catharine Arnold dan Flu karya Gina Kolata. 

Buku tulisan Kolata ini saya beli ketika menggeledah buku terpakai yang dijual di The Hill beberapa tahun lalu. Buku ini telah pun difilemkan. 

Buku The Great Influenza karya John M Barry muncul sebagai buku terlaris. Selain itu, anda dapat membaca  Pale Rider tulisan Laura Spinney, More Deadly Than War tulisan Kenneth C Davis, American Pandemic karya Nancy Bristow, Very, Very, Very Dreadful: The Influenza Pandemic of 1918 karya Albert Marrin dan Influenza karya Jeremy Brown. 

Buku Arnold,  seorang sejarawan, misalnya ditulis menggunakan dokumen di perpustakaan, rekod yang belum pernah diterbitkan, memoir, diari dan penerbitan kerajaan dan arkib ditulis dengan begitu berkesan sekali. 

Begitu terperinci, penuh dengan cerita atau anekdot, melalui kajian yang bersungguh-sungguh memberi amaran kepada kita tentang betapa dahsyatnya ancaman serangan wabak.  Beliau menyelusuri perjalanan dan urutan wabak itu, asal usulnya, serta perkembangan virus itu merentangi dunia. 

Di sebalik angka kematian yang begitu besar, sebenarnya ialah nyawa manusia, kisah mereka yang menderita dan berkorban mengharungi perang sebenar dan perang melawan musuh kesihatan. 

Di Britain 250,000 mati, di Amerika Syarikat 750,000 terkorban, lima kali ganda korban di medan perang, manakala di Eropah angka kematian mencecah dua juta. 

Untuk meletakkan angka ini dalam perspektif yang betul dan mudah difahami, AIDS mengorbankan 11.7 juta sepanjang 1997, Perang Dunia Pertama 9.2 juta tentera di medan perang dan 15 juta kematian keseluruhanhya. Perang Dunia Kedua menyaksikan 15.9 juta tentera barisan depan mati. 

Tetapi  Alfred Crosby, seorang sejarawan  persekitaran menyatakan, “pandemik 1918 telah membunuh lebih banyak manusia daripada penyakit lain dalam tempoh sama dalam sejarah dunia.” Wabak itu membunuh 2.5 peratus mereka yang dijangkiti. 

Dalam sebulan penyakit itu menyerang Philadelphia, 11,000 orang mati. Pada 10 Oktober 1918 sebanyak 759  orang menjadi mangsa di situ. 

Bukankah ini tidak jauh berbeza daripada keadaan yang dialami baik di Itali, Sepanyol atau New York ketika ini?

Berkaitan dengan buku Kolata, seorang pengulas menyatakan, “All in all, this book is a reminder of the competition, disappointment, and ingenuity that occur in finding both the virus and the cure.”

Buku karya Barry pula dapat disifatkan sebagai begitu monumental, kerana ia mampu memberi perspektif yang mendalam melalui kajian yang begitu teliti melingkari pandemik maut itu. Beliau merumuskan: “Pengajaran terakhir daripada 1918, sesuatu yang mudah tetapi begitu sukar dilaksanakan, iaitu…mereka yang berkuasa perlu mengekalkan kepercayaan rakyat. Caranya adalah dengan tidak mengherotkan apa-apa, dan tidak memanipulasi sesiapa pun.”

Wabak berkenaan yang menyerang melalui tiga gelombang dari 1918 hingga 1919 digelar oleh tentera Jerman sebagai Blitzkatarrh, tentera British menggelarkannya sebagai Flanders Grippe, manakala dunia memberi gelaran wabak itu sebagai Spanish Flu. 

Tidak ada penujuru dunia yang berupaya mengelaknya. Dari Boston ke Cape Town, dari London ke Mumbai, dari Madrid ke Singapura,   Semenanjung Tanah Melayu dan Thailand.  

Akhbar The Times di London dalam editorialnya pada Februari 1921 melakarkan wabak itu begini: “Ia datang dan pergi, taufan melanda padang hijau kehidupan, menyapu ratusan ribu remaja dan belia dan meninggakkan derita kesakitan.”  Sebab, berbeza daripada Covid-19, selesema Sepanyol banyak mengorbankan belia dan kanak-kanak.

Tetapi anehnya, rakyat Amerika bagai tidak mengendahkan wabak itu. “Orang Amerika tidak mempedulikan pandemik itu,” kata Alfred Crosby dalam bukunya, America’s Forgotten Pandemic: The Influenza of 1918, “kemudian cepat melupai apa-apa yang dilihat mereka.”

Begitu banyak imej dan gambar termasuk dalam Internet dapat kita teliti berkaitan wabak ini. Ini termasuk gambar lebih daripada 200 tentera terlantar di wad hospital. Imej itu begitu berkesan dan menghantui kita semua. 

Apa bezanya Covid-19 dengan wabak-wabak lain yang pernah melanda dunia? 

Adakah jumlah yang maut akibat Covid-19 akan menyaingi jumlah mangsa selesema Sepanyol atau Spanish Flu lebih seratus tahun lalu?

Covid setakat ini telah menyerang lebih 1.2 juta jiwa dan hampir  70,000 sudah meninggal dunia angkara virus maut itu.  

Sesetengah negara dalam darurat susulan jumlah dijangkiti dan menjadi mangsa melonjak. 

Mengurus dan mengembumikan mayat menjadi satu daripada cabaran utama di negara berkenaan. Beberapa bandar di AS kekurangan penggali kubur dan keranda, dan kubur massa terpaksa digali untuk memudahkan pengebumian mayat yang bertimbun-timbun. 

Sebab, memetik kata seorang doktor di sebuah hospital, “seorang pesakit masuk dari satu pintu, satu mayat keluar dari pintu lain.” Wabak itu mengatasi kesan wabak Black Death pada 1348 dan wabak dahsyat pada 1665.  Ada baiknya ketika kita kini berkurung, kita luangkan masa untuk membaca buku berkaitan wabak yang pernah menyerang dunia, termasuk selesema Sepanyol 1918.

Bukankah sejarah itu guru terbaik untuk kita semua.Kita perlu belajar daripada kearifan ahli falsafah terkenal George Santayana, “sesiapa yang melupakan sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali.” Sebab, buku berkaitan pandemik berkenaan banyak mengisahkan langkah  dan kesilapan manusia seratus tahun lalu dalam menangani pandemik yang disifatkan sebagai ibu segala pandemik itu. Kita tentu tidak mahu Covid-19 mengambil alih gelaran berkenaan.