16 disumbat di dalam penjara, mulai esok kompaun RM1,000 bagi yang langgar PKP

KUCHING: Semalam polis telah menangkap 25 orang di negeri ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hari ini, 71 orang telah  dituduh di mahkamah.

Daripada jumlah tersebut, 57 orang telah mengaku salah, manakala 16 orang telah dipenjara dan 35 orang telah didenda,” katanya.

Kes tangkapan harian tertinggi ialah Kuching sebanyak enam orang dan Mukah lima orang.

Tempat-tempat lain ialah Sibu (4), Miri, Marudi, Lawas masing–masingnya dua. 

Manakala Padawan, Kota Samarahan, Serian dan Lubok Antu masing-masingnya seorang.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani seperti dipetik media,kompaun sebanyak RM1,000 akan mula dikenakan terhadap mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Beliau berkata pesalah PKP diberi masa dua minggu untuk menjelaskan kompaun berkenaan, jika gagal akan dihadapkan ke mahkamah.