JAKARTA: Kampung Tuk Songo yang di wilayah Purworejo, Jawa Tengah menjadi sebutan ramai selepas mereka mengupah dua lelaki menjadi pocong untuk mengawal jalan masuk di kampung terbabit selepas arahan PKP berkuat kuasa di situ.

Angko Setiyarso Widodo, jurucakap kampung itu memberitahu penduduk kampung membuat keputusan menjalankan PKP dan mengasingkan diri dari orang luar secara bergotong-royong dalam usaha mengekang penyebaran Covid-19.

Tiada sesiapa dibenarkan keluar atau masuk ke kampung itu sehingga keadaan kembali pulih.

Kedua-dua pocong mengiringi penduduk kampung setiap kali mereka memeriksa jalan masuk ke kampung itu termasuk semasa semburan nyahkuman dilakukan.

Mereka berdua berkawal pada malam hari manakala penduduk kampung berkawal pada waktu siang.

Kesemua jalan keluar masuk ke kampung itu ditutup dan satu-satunya jalan yang boleh dilalui ialah jalan yang dijaga pocong-pocong itu.

Menurut Angko, kewujudan pocong ini mengingatkan mereka semua tentang kematian.

Jika masih degil dan tidak mahu mengikut arahan PKP, mereka juga akan menjadi pocong nanti.