KABONG: Tindakan segera telah dilakukan pihak berwajib dengan memasang tanda dan lampu amaran di jalan raya utama Kabong-Nyabor di kawasan Kampung Emburoh yang dilaporkan berlubang dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di sini petang tadi.

Pemasangan tanda amaran di jalan raya tersebut dibuat kira-kira jam 6 petang oleh beberapa petugas. Kawasan jalan raya berlubang berkenaan ditanda dengan kon, pita amaran dan juga lampu amaran.

Kira-kira jam 4 petang tadi Sarawakvoice menyiarkan aduan orang ramai tentang jalan raya yang rosak serta berbahaya kepada pengguna jalan raya Kabong- Nyabor di kawasan Kampung Emburoh di sini.

Sebagai langkah alternatif penduduk sebelum itu memacakkan papan tanda di lubang tersebut bagi mengelakkan pengguna berdepan bahaya.

Tindakan pantas pihak berwajib petang tadi mendapat pujian penduduk dan pengguna jalan raya.

Rata-rata mereka mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berwajib yang bertindak pantas demi keselamatan pengguna jalan raya.

Petugas memasang tanda amaran di jalan raya berlubang…
Jalan raya berlubang sudah ditanda dan diberi lampu amaran…