PUTRAJAYA: Sekitar 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada pakej tambahan berjumlah RM10 bilion yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau “Prihatin Tambahan” diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin dua per tiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

Sebelum ini, sebuah badan pemikir menjangkakan 2.4 juta pekerja akan hilang pekerjaan susulan serangan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan jika tidak mendapat bantuan kerajaan.

Bantuan ini adalah untuk selama tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar. 

Menurut Perdana Menteri, pakej tambahan berjumlah RM10 bilion ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

Di bawah inisiatif tambahan itu, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut:

Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan.

Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.

Peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac lalu akan dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.