KUCHING: Individu di Sarawak  yang ada kontak dengan empat kumpulan ada kaitan dengan Covid-19 digesa segera datang menjalani saringan.

 Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Sri Dr Sim Hui Hian merayu kepada individu yang ada kontak dengan mana-mana kumpulan tampil dengan  segera demi kebaikan semua pihak. 

Empat kumpulan tersebut ialah Majlis Jerayawara Wawasan Ummah Gemilang Majlis Islam Sarawak (MIS) pada 10 Mac 2020 di Dewan Suarah Kota Samarahan; kontak kepada kluster, staf dan pelajar SMK Kota Samarahan; kluster Good News Fellowship; dan individu yang terdedah kepada pesakit Covid-19. 

“Tolong tampilkan diri untuk dinilai dan diuji. Tidak ada stigma. Sudah pasti bukan salah anda,” rayu  Dr Sim menerusi catatan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya. 

Kata beliau, dengan  menampilkan diri membuat saringan katanya, ia dapat menyelamatkan diri sendiri, keluarga serta rakyat Sarawak secara keseluruhannya. 

Malah, kata Dr Sim, ia akan membantu menghentikan Covid-19 di Sarawak daripada menuju ke arah situasi seperti di Itali, Sepanyol, United Kingdom atau Amerika Syarikat.

“Setiap orang punya peranan masing-masing dan tolong mainkan peranan anda dengan serius,” ujar Dr Sim. 

Beliau turut mengongsikan pengumuman daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan meminta mereka yang ada kontak dengan empat kumpulan terbabit supaya  membuat saringan Covid-19 segera. 

Saringan boleh dibuat di Dewan Suarah Kota Samarahan dari jam 8.30 pagi hingga 11 pagi dan 1 petang hingga 3 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat termasuk Sabtu dan Ahad mulai 6 April 2020.