KABONG: Jalan raya utama Kabong – Nyabor di kawasan Kampung Emburoh kini berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana terdapat lubang dalam yang terbentuk di atas permukaan jalan raya tersebut.

Sebagai tindakan sementara penduduk di kawasan tersebut telah meletakkan papan tanda di kawasan lubang tersebut bagi mengelakkan berlaku kemalangan membabitkan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Sehubungan dengan itu penduduk di kawasan terlibat berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi membaiki jalan raya berkenaan yang dilalui banyak kenderaan.

Menurut seorang penduduk, Lau Aming, keadaan di situ akan menjadi lebih berbahaya pada waktu malam kerana kawasan itu gelap.

“Pada mulanya kerosakan berlaku dengan terbentuknya beberapa lekuk di permukaan jalan tersebut yang menyebabkan permukaan jalan menjadi tidak rata.

“Kemudiannya pagi tadi sudah terbentuk lubang yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya. Sebagai tindakan awal kami kemudiannya telah memacakkan papan tanda di kawasan lubang berkenaan,” ujarnya.

Justeru pada masa ini pengguna yang menggunakan laluan berkenaan diingatkan agar berhati-hati dan memperlahankan kenderaan sewaktu melalui kawasan jalan raya tersebut.

Seorang pengguna jalan raya yang dikenali sebagai Ain Ela turut menghubungi Sarawakvoice memberitahu lubang berkenaan terbentuk akibat daripada terowong air yang dibuat daripada besi telah berkarat dan rosak yang akhirnya menyebabkan terbentuk lubang dipermukaan jalan tersebut kini.

“Kami berharap kerja-kerja membaiki akan dapat dilakukan dengan kadar segera bagi memastikan keadaan tidak menjadi lebih buruk Kita tak mahu lubang itu terbiar dalam tempoh masa yang lama kerana itu kawasan laluan utama, “ujarnya.