UTTAR PRADESH: Ketika seluruh negara diarahkan menjalani PKP akibat pendemik Covid-19, kerajaan Uttar Pradesh mewujudkan pusat aduan kecemasan bagi membantu sesiapa yang memerlukan bantuan ubat-ubatan dan pelbagai barangan lain.

Namun, terdapat seorang pemanggil menghubungi pusat itu meminta dihantarkan samosa (makanan Punjabi seperti karipap), pihak berkuasa mengambil keputusan menghantar samosa kepadanya, selain bertujuan mahu memberi pengajaran kepadanya.

Di akaun Twitter milik Majistret Daerah Rampur, Aunjaneya Kumar Singh menceritakan, awalnya lelaki itu diberi amaran agar tidak menghubungi talian tersebut untuk tujuan meminta makanan, namun dia masih menghubungi mereka meminta dihantarkan samosa.

Berikutan itu pihak berkuasa membuat keputusan menghantar samosa yang diinginkannya. Namun, sebagai hukuman kerana mengganggu petugas di pusat aduan itu, dia didenda mencuci parit.

Aunjaneya turut menunjukkan foto lelaki itu membawa penyapu ketika dihukum mencuci parit.