KETIKA berkurung di dalam rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu, saya sempat membelek dan membaca beberapa buah buku dalam perpustakaan peribadi saya. 

Ini termasuk Pandemic 1918 karya Catharine Arnold dan The Little Book of Pandemics karya Dr Peter Moore yang mengisahkan secara ringkas 50 wabak paling dahsyat dalam sejarah manusia.

Saya turut teringat novel A Tale of Two Cities karya pengarang Inggeris abad ke-19, Charles Dickens.

Adakah apa-apa yang kita harungi ketika ini  seperti yang digambarkan oleh novelis yang pernah menghasilkan 15 buah novel itu?

Dalam perenggan pertama Dickens menulis: “It was the best of times, it was the worst of times…it was the season of Darkness, it was the spring of hope, it was a winter of despair, we had everything before us, we had nothing before us…

Memang dapat difahami, kita kini dalam zaman penuh ujian. Lebih sejuta orang  dijangkiti dengan hampir 60,000 sudah meninggal dunia angkara virus maut.  

Sesetengah negara dalam darurat susulan jumlah dijangkiti dan menjadi mangsa melonjak. Mengurus dan mengembumikan mayat menjadi satu daripada cabaran utama di negara berkenaan.

Mengurus mayat menjadi satu daripada masalah ketika dunia berdepan ancaman Covid-19. Jumlah yang mati di sebahagian negara terlalu banyak dan sukar diuruskan oleh rumah mayat dan hospital. 

Dalam keadaan sekarang, kaum keluarga tidak dibenarkan berada di samping orang tersayang ketika mereka berjuang untuk hidup. Mereka mati keseorangan di wad hospital. Wabak itu merampas kesempatan ahli keluarga yang kehilangan orang terdekat untuk mengucapkan perpisahan. Ada stigma dan trauma di sebalik kematian ahli keluarga yang meninggal kerana Covid-19. 

Tidak dapat hadir di pemakamanan orang yang tersayang, tentu saat yang memilukan di sebalik tragedi yang mencengkam.  Mereka dikebumikan tanpa saudara-mara, sahabat handai dan orang tersayang. 

Tiada tangisan mengiringi jenazah yang masuk ke liang lahad.

Indonesia telah merekodkan lebih 200 kematian dengan lebih 2,000 telah dijangkiti ketika ia dijangka berdepan 140,000 kematian dan menjadi Itali di Asia Tenggara atau Wuhan, China. 

Ini catatan seorang anak yang kematian ayah dan ibu kerana Covid-19 di Jakarta baru-baru ini. 

“Mama tersayang…Izinkan kami bertiga melepas pemergianmu. Ya, hanya kami bertiga, tanpa teman, saudara, tetangga ataupun rakan kerja. Sedih yang teramat sangat tidak bisa menghadirkan mereka di sini untuk melepas pemergianmu tetapi ini demi kebaikan mereka. Mama sudah tenang sekarang tanpa peralatan medis di tubuh mama…tak terbayangkan pendertiaan mama kelmarin berjuang sendirian melawan virus korona. Semoga itu menjadi penghapus dosa mama selama mama di dunia….” 

Dalam keadaan sekarang, ada kisah duka apabila terdapat jenazah ditolak oleh warga sekitar tempat ia hendak dikebumikan. Ini turut  berlaku di Indonesia. Penduduk yang kurang faham tentang bagaimana virus itu merebak, berfikir bahawa ia juga dapat merebak walau mayat dikebumikan. 

Gara-gara percaya virus Covid-19 dapat merebak walaupun jenazah sudah dikuburkan, sebuah keluarga yang berduka di Indonesia akibat kematian terpaksa mencari tanah perkuburan yang sanggup menerima saudara mereka.  Malah, terdapat laporan kubur pesakit dan mangsa Covid-q19 digali semula dan jenazah terpaksa dipindahkan ke lokasi lain gara-gara ditolak penduduk kampung tempat jenazah itu dikebumikan. Kubur pesakit berkenaan dikatakan terpaksa digali kerana mendapat bantahan daripada masyarakat tempatan dan kampung-kampung sekitar.

Alasannya, penduduk tempatan khuatir atau bimbang pemakaman pesakit Covid-19, virus berkenaan akan menyebar di kawasan mereka. Ya, ketakutan dan kebimbangan ancamannya sama dahsyat dengan ancaman virus itu. 

Bayangkan perasaan kaum keluarga terbabit menerima nasib sedemikian?

Cara mengurus jenazah mangsa Covid-19 tidak sama dengan cara mengurus kematian biasa. Jasad mangsa harus sesegera mungkin dipindahkan ke bilik mayat. Jenazah perlu dibungkus seluruhnya di dalam kantung jenazah yang tidak mudah tembus sebelum dipindahkan ke kamar mayat.

Ini bagi memastikan tidak ada kebocoran cairan tubuh yang mencemari bahagian luar beg mayat berkenaan. 

Bagi petugas kesihatan pula, mereka perlu sentiasa berwaspada ketika mengurus jenazah pesakit yang menjadi korban Covid-19. 

Wabak ini mendatangkan krisis kesihatan, ekonomi, psikologi dan kemanusiaan yang dahsyat.

Di sesetengah negara mayat gelandangan, pengemis dan penagih dadah, terbiar di jalanan apabila mereka mati. Perintah berkurung telah dilaksanakan di lebih daripada 60 negara, menyebabkan hampir empat bilion manusia di muka bumi berkuruung di dalam rumah.

Imej dan video keranda dan bungkusan mayat bergelimpangan  begitu memilukan. Di Itali, imej keranda bersusun di gereja memberi gambaran betapa dahsyatnya penangan virus ini. Dapat dibayangkan bagaimana tertekannya pihak doktor, paderi, pengurus rumah mayat dan ahli keluarga berdepan dengan kematian demi kematian. 

Lombardy, antara kawasan paling teruk menderita kerana tragedi itu, benar-benar dalam krisis. 

Di Bermago dilaporkan mayat dan keranda berbaris. Bayangkan di Itali jumlah kematian dalam 24 jam sampai mencecah 1,000 orang, dan kini angka keseluruhan mangsa ialah lebih daripada 15,000 jiwa. Pada waktu malam hanya ambulans dan kenderaan membawa keranda bergerak. 

Ada yang menyifatkan keadaan di Itali bagai lebih dahsyat daripada perang, dan seolah-olah bom kimia telah meledak. Rumah mayat dan sistem kesihatan telah lumpuh. Negara moden itu bagai tidak bersedia berdepan dengan keadaan darurat sedemikian. 

 Anda tidak perlu berada di Itali untuk berasa betapa menggerunkan keadaan di sana. Memadai anda melihat video dan imej di alam maya. Itu seharusnya membuka mata dan pintu hati rakyat Malaysia supaya tidak mengambil mudah akan bahana dan angkara virus ini.

Di tengah pandemi Covid-19, muncul gambar dan video dari kota Guayaquil di Ecuador, Amerika Tengah, tentang jenazah yang diletakkan di pinggir jalan dan menunggu berhari-hari sebelum diurus dan dikebumikan. Pemakaman umum di negara itu turut terjejas teruk akibat serangan wabak koronavirus. Polis terpaksa dikerah untuk mengangkut mayat yang berada di rumah.

“Mereka tidak mengangkat jenazah dari rumah-rumah tinggal. Mereka meninggalkannya di tepi jalan atau diletakkan di depan rumah sakit. Tak ada yang bersedia mengangkat. Keluarga-keluarga pesakit mengetuk pintu rumah sakit minta agar dapat dirawat, tetapi tak ada lagi tempat tidur untuk merawat,” kata seorang ahli keluarga pesakit di Ecuador.

Bak kata Charles Dickens, ini zaman paling buruk, paling dahsyat, paling muram. Ini zaman gelap dan putus asa. Tetapi, kita sebenarnya tidak boleh menyerah kalah dan putus asa. 

Kita perlu terus berjuang dalam perang ini. Kita perlu menang. Kita perlu bekerjasama dengan diam di rumah. Ini sahaja pengorbanan yang dituntut daripada 33 juta rakyat di negara ini. Insya-Allah kita akan bangkit dan menang dalam perang ini. Kita perlu berpegang kepada kata-kata Winston Churchill: “If you are going through hell, keep going.” Sesungguhnya, masih ada sinar harapan untuk kita semua.