KUALA LUMPUR: Ramai yang mencadangkan pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar tidak dipenjarakan termasuklah Lim Kit Siang, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohd Aris.

Namun, menurut beliau, mereka yang ingkar PKP dan menghina serta memaki pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajib dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu denda serta penjara.

“Ya, kita faham tentang situasi penjara dan hukuman penjara ke atas pesalah PKP terutamanya belia adalah berat serta akan menjejaskan masa depan mereka.

“Kita tidak boleh lagi berlembut dengan mereka yang biadab dan tidak faham bahasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, pihak Peguam Negara, PDRM dan Jabatan Penjara akan membincangkan isu ini supaya dapat diselesaikan segera.

“Kita pun harap isu ini selesai dengan segera,” kata Dr Najmil lagi.