KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan sembilan lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di negeri ini sebanyak 273 kes sejak
kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata daripada sembilan kes tersebut, lapan kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes dirawat di Hospital Bintulu.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 76 kes baharu Individu Dalam Siasatan (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,705 kes.

Katanya daripada jumlah itu, 1,358 kes adalah negatif dan 74 kes masih menunggu keputusan makmal.

“Bagi kes PUI di Kuching pada hari ini, sebanyak 56 kes telah disaring di mana lapan kes PUI telah disaring di Kompleks Belia dan Sukan serta 48 kes telah disaring di HUS,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Beliau berkata statistik kes PUI baharu mengikut daerah ialah Kuching (56), Samarahan (8), Serian (3), Miri (3), Bintulu (3), Bau (2) dan Simunjan (1).

Sementara, Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat hari ini adalah 96 peratus.

“Semalam polis telah menangkap 26 orang di Sarawak kerana melanggar PKP,” katanya.

Katanya tangkapan melibatkan di Kuching (5), Miri (5), Kota Samarahan (5), Padawan (3), Bintulu (2), Meradong (2), Tatau (2), Serian (1) dan Bau (1).

Karim berkata seramai 4,131 anggota PDRM telah ditugaskan menjalankan PKP dengan dibantu seramai 1,212 agensi bantuan seperti tentera (681), Rela (397), Angkatan Pertahanan Malaysia (63) dan Polis Sukarelawan (PVR) (71).