Saturday, May 21, 2022

25 pesakit dalam keadaan kritikal di Singapura

Secara Rawak

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura pada Jumaat mengesahkan terdapat 65 kes baharu positif jangkitan COVID-19, termasuk seorang rakyat Malaysia.

Wanita warga Malaysia berumur 40 tahun itu merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, antara tiga kes tambahan yang dikaitkan dengan kluster Mustafa Centre, sebuah kompleks beli-belah di Jalan Syed Alwi.

“Kluster berkenaan mempunyai 14 kes sekarang ini,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan di sini seperti dipetik Bernama.

Menurut MOH, daripada 65 kes baharu itu, sembilan dari luar manakala 56 melibatkan kes tempatan, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu kepada 1,114.

Sembilan kes dari luar itu mempunyai sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah dan ASEAN manakala 16 kes tempatan kini tidak mempunyai kaitan dan pengesanan kontak sedang dijalankan.

Berikutan lebih banyak kes tempatan dan kluster baharu muncul, Singapura hari ini memutuskan untuk mengenakan langkah lebih ketat selama sebulan bermula minggu depan, termasuk penutupan kebanyakan tempat kerja.

Pada Jumaat, Singapura telah mengenal pasti tiga lagi kluster baharu di Ce La V, sebuah bar di Bay Front Avenue; Kelab Kriket Singapura di Connaught Drive dan tapak pembinaan di Project Glory of Market Street.

Semasa memaklumkan perkembangan terkini wabak COVID-19, MOH menjelaskan 16 lagi kes telah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, menjadikan jumlah yang pulih sepenuhnya kepada 282.

Menurut kementerian itu, daripada 473 kes positif yang masih berada di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala 25 berada dalam keadaan kritikal di unit penjagaan rapi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru