MUKAH: Golongan belia di Mukah diingat agar tidak menggadaikan masa depan dengan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, walaupun pesalah PKP hanya dipenjarakan selama dua bulan namun ianya akan memberi kesan buruk kepada masa depan golongan belia.

Beliau berkata demikian semasa mengagihkan ‘food basket’ kepada 351 golongan kurang berkemampuan dari 13 kampung di sekitar Mukah.

Yussibnosh turut mengingatkan penerima untuk tidak keluar beramai-ramai ke pusat agihan dan mematuhi arahan penjarakan sosial sejauh 1 meter bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Katanya, orang awam yang ingin keluar kampung juga perlu mematuhi arahan terkini dengan mendapatkan surat kelulusan dari pihak PDRM.