KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri telah mengarahkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk menjalani kuarantin diri di rumah, menurut Setiausaha Akhbarnya Saiful Bahari.

“Datuk Amar telah diarah untuk kuarantin diri oleh Jabatan Kesihatan Negeri kelmarin.

“Pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan COVID-19 yang dipengerusikannya, seorang ahli yang hadir telah dilaporkan positif COVID-19,” katanya menerusi laman Facebook miliknya, Khamis.

Katanya, Awang Tengah kini berada di rumahnya dan keadaannya dilaporkan baik.

“Datuk Amar kini berada di rumah, dan melalui perbualan telefon, beliau menyatakan dirinya dalam keadaan baik,” ujarnya.

Kata Saiful lagi, semua yang berada pada mesyuarat tersebut turut diarah untuk kuarantinkan diri.

“Semua ahli jawatankuasa bekalan makanan yang ada di dalam mesyuarat tersebut telah diarahkan untuk kuarantin diri atas faktor keselamatan,” katanya lagi.