KUCHING: Seramai 36 orang ditangkap dalam tempoh 24 jam dari 8 pagi kelmarin hingga 8 pagi semalam, kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata ia menjadikan jumlah tangkapan setakat semalam adalah 312 orang.

“Jumlah orang dituduh di mahkamah adalah 150 orang.

“Seramai 125 orang telah mengaku bersalah manakala 18 orang tidak mengaku salah (69 orang dipenjarakan, 29 orang penjara dan denda manakala 14 orang didenda),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau menambah waran tangkap telah dikeluarkan ke atas tujuh orang yang tidak hadir ke mahkamah.

Sementara, Aidi berkata tangkapan ke atas individu ingkar PKP kini mula berkurangan.

“Mungkin orang ramai sudah takut kerana hukuman penjara telah dikenakan kepada mereka yang dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata peratus pematuhan PKP pada 31 Mac lalu adalah 95.3 peratus.