BETONG: Hari ke-16 berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah Covid-19 Pejabat Residen Bahagian Betong telah mengeluarkan notis rasmi berhubung permohonan pergerakan antara daerah dan bahagian sepanjang tempoh PKP dijalankan.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan permohonan pergerakan bermula pada 2 April ( hari ini) hendaklah dibuat di Balai Polis Daerah.

Menurut kenyataan tersebut hanya Balai Polis Daerah (balai polis terdekat) mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kelulusan pergerakan sepanjang PKP Covid-19.

Permohonan berkenaan adalah atas kes-kes seperti kecemasan berkaitan kematian keluarga terdekat,sakit tenat, dan temu janji perubatan atau juga atas urusan rasmi seperti perkhidmatan penting atau atas arahan ketua jabatan.

Sementara itu kebenaran pergerakan itu juga mengehadkan hanya seorang sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan dalam satu-satu masa kecuali telah mendapat kebenaran daripada PDRM.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihak PDRM telah dimaklumkan perkara tersebut.

Kata Mordani untuk pergerakan dalam daerah seperti dari Kabong ke Saratok orang ramai tidak perlu memohon surat kebenaran tetapi tidak boleh melebihi seorang dalam sebuah kenderaan.

Permohonan pergerakan katanya hanya perlu dibuat jika hendak ke bahagian lain seperti Sarikei,Sibu atau Kuching dan bahagian lain.