Sunday, November 27, 2022

Perlukah bazar Ramadan diadakan di Sarawak tahun ini?

Secara Rawak

Beberapa kerajaan negeri telah memutuskan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini.

Demikian juga jualan sempena Aidilfitri.

Keputusan itu dibuat sebagai inisiatif bagi mengelakkan orang ramai berkumpul, sekali gus berkemungkinan meningkatkan penularan wabak Covid-19.

Ini merupakan langkah yang wajar. Kita tidak harus mengambil risiko dengan membuka bazar berkenaan ketika kita masih lagi belum dapat mengekang penularan virus corona.

Tentu sia-sia sahaja segala usaha kita menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan jika kita benarkan penjaja membuka gerai jualan pada bulan Ramadan.

Setakat ini Kedah. Selangor, Kelantan dan Terengganu telah memutuskan untuk tidak membuka bazar Ramadan.

Beberapa hari lalu kecoh netizen dan orang ramai apabila menteri terbabit berkata kemungkinan bazar Ramadan akan beroperasi.

Itu sebenarnya kalau betul merupakan satu tindakan yang terburu-buru, malah tidak bertanggungjawab.

Bagaimana mungkin kita dapat memberi jaminan bahawa pengunjung — yang jumlahnya ribuan setiap hari — dapat memberi jaminan bahawa mereka akan mengamalkan penjarakan sosial?

Anda yang pernah mengunjungi pasar atau bazar Ramadan pasi tahu bagaimana sesaknya keadaan di bazar berkenaan. Memang kita faham tanpa bazar Ramadan potensi pendapatan yang bakal diraih penjaja akan terjejas. Tetapi dalam keadaan sekarang, wang atau nyawa lebih penting?

Satu daripada cara paling mudah bagi virus corona untuk merebak adalah apabila orang ramai bersesak-sesak, termasuk di pasar dan bazar. 

Pilihan ada di tangan kita. Kita perlu membuat pilihan yang bijak dan betul. Jangan sampai sudah terantuk barulah hendak tengadah.

Kita tidak usahlah mengambil  risiko dengan membuka bazar berkenaan pada tahun ini.

Kita perlu berkorban.

Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menolak sebarang penganjuran bazar Ramadan di ibu negara tahun ini.

Malah, ia  menggesa agar bazar Ramadan dibatalkan mengambil kira ancaman wabak koronavirus yang masih berterusan.

PKP akan berakhir pada 14 April. Tetapi adakah kita pasti bahawa ia tidak akan dilanjutkan. Isyarat jelas sama ada PKP akan dilanjutkan atau tidak banyak bergantung kepada jumlah kes yang bakal dicatatkan pada hari-hari mendatang. Jika jumlah kes positif Covid-19 tidak mengendur, tidak ada alasan untuk PKP tidak dilanjutkan. Kalau tidak sia-sia sahaja segala langkah yang diambil selama ini.

Dalam satu kenyataan, akademi terdiri daripada 11 kolej pelbagai pakar perubatan itu berkata, mustahil untuk menganjurkan bazar Ramadan yang mampu menjamin perlaksanaan penjarakan sosial dengan berkesan.

“Kami merujuk kepada laporan media Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa) yang berkata tidak akan membatalkan bazar Ramadan, tetapi akan menguruskan ‘lalu lintas manusia’ secara lebih baik.

“Walau bagaimanapun, pada pendapat kami mustahil untuk melakukan penjarakan sosial memandangkan populariti dan kesesakan bazar Ramadan.

“Kontak rapat tidak dapat dielakkan berlaku di kawasan tempat letak kereta, dalam perjalanan (ke bazar dan balik ke parkir) dan antara pelanggan dan peniaga,” katanya.Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menolak sebarang penganjuran bazar Ramadan di ibu negara tahun ini dan menggesa ia dibatalkan mengambil kira ancaman wabak koronavirus (Covid-19) yang masih berterusan.

Dalam satu kenyataan, akademi terdiri daripada 11 kolej pelbagai pakar perubatan itu berkata, mustahil untuk menganjurkan bazar Ramadan yang mampu menjamin pelaksanaan penjarakan sosial dengan berkesan.

“Kami merujuk kepada laporan media Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa) yang berkata tidak akan membatalkan bazar Ramadan, tetapi akan menguruskan ‘lalu lintas manusia’ secara lebih baik.

“Walau bagaimanapun, pada pendapat kami mustahil untuk melakukan penjarakan sosial memandangkan populariti dan kesesakan bazar Ramadan.

“Kontak rapat tidak dapat dielakkan berlaku di kawasan tempat letak kereta, dalam perjalanan (ke bazar dan balik ke parkir) dan antara pelanggan dan peniaga,” katanya.

Peperangan terhadap serangan Covid-19 masih belum berakhir. Malah, kita masih berada di tengah-tengah perang melawan musuh yang tidak nampak tetapi amat berbahaya.

Perniagaan tidak harus diteruskan seperti biasa. 

Sebaliknya alternatif seperti bazar Ramadan dalam talian dengan perkhidmatan penghantaran perlu dipromosikan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan meminimumkan kesan ekonomi kepada peniaga kecil.

Jadi, di Sarawak juga, kita perlu mengambil langkah proaktif dengan tidak menganjurkan bazar Ramadan bagi memastikan kita terus dapat mengawal penyebaran dan penularan virus corona.

Tindakan ini perlu diambil demi keselamatan dan kesihatan semua pihak. Ini merupakan satu daripada pengorbanan yang perlu diambil oleh penjaja dan pembeli atau pengunjung. Jangan sampai bazar Ramdan menjadi satu lagi tempat baharu yang menjadi punca peningkatan kes positif Covid-19. Dan, apabila itu berlaku, pasti sukar untuk kita memerangi dan mengawal penularannya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru