Persatuan Pengusaha Muslim Malaysia (PRESMA) telah meminta UMNO Pulau Pinang untuk menyuarakan cabaran amat besar yang sedang dihadapi mereka.

Kebanyakan Restoran Melayu Tomyam, Nasi Padang ,Nasi Kandar dan Restoran biasa terpaksa menghentikan operasi atau jika di buka pun, jualan harian tidak sampai 30% daripda kutipan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada masa yang sama, kerajaan telah mewajibkan gaji semua pekerja termasuk pekerja asing tetap dibayar seperti biasa disamping masih perlu menanggung kos penginapan dan kos makanan harian pekerja mereka.

Akibatnya, ahli-ahli PRESMA sedang menghadapi masalah aliran tunai yang amat kritikal dan mereka menghadapi kebankrapan jika tidak menerima bantuan yang mencukupi dari kerajaan.

Selain bantuan dan insenfitf yang telah diumumkan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi Covid, PRESMA juga meminta kerajaan untuk:

1) mengurangkan levi tahunan pekerja asing yang telah dinaikkan oleh kerajaan PH kepada RM1,850 seorang setahun kepada RM250 untuk tempoh 3 tahun.

2) kerajaan campur tangan untuk suruh tuan kedai swasta memberi penecualian sewa selama 3 bulan kerana pemilik kedai di bawah kerajaan telah pun mengecualikan sewa bagi tempoh 6 bulan.

3) Melanjutkan tempoh untuk membayar SST yang telah dikutip pada bulan Januari dan Februari 2020 tetapi masih belum dibayar kepada kerajaan kepada akhir Disember 2020.

Pandangan Najib:

1. Saya faham dan bersimpati dengan kesusahan dan cabaran amat besr yang sedang dihadapi oleh ahli-ahli PRESMA namun, cabaran yang sama turut dihadapai oleh semua restoran dan banyak lagi SME serta peniaga kecil seluruh negara.

2. Kerajaan tidak ada kuasa untuk memaksa tuan kedai swasta untuk mengurangkan atau mengecualikan sewa seperti apa yang dilaksanakan kedai atau bangunan milik kerajaan.

Bagaimanapun, kerajaan boleh memberi pengecualian cukai pendapatan kepada tuan kedai untuk tahun ini dan tahun depan.

Pada masa yang sama, tuan kedai swasta perlu faham bahawa mereka tidak dapat apa-apa faedah jika penyewa mereka terpaksa tutup apabila mereka tidak dapat membayar sewa kerana ianya amat sukar untuk mencari pengganti pada masa susah ini.

3. Kita perlukan usaha bertahun-tahun untuk membina sebuah perniagaan tetapi ianya hanya memerlukan tempoh 3 hingga 6 bulan yang amat mencabar untuk perniagaan tersebut menghadapi kemuflisan.

Ini saya faham.

4. Ketiga-tiga permintaan PRESMA ini adalah munasabah dan tidak keterlaluan dan patut dilaksanakan oleh kerajaan.

5. Ramai Rakyat Malaysia mungkin akan hilang kerja mereka dalam krisis Covid ini. Restoran-restoran Malaysia juga perlu menimbangkan untuk mengambil anak tempatan untuk menggantikan pekerja asing yang tamat kontrak.

Tiada salahnya untuk anak tempatan bekerja sebagai pembantu atau cook restoran tempatan jika gajinya munasabah.

Pada masa ini juga, kerajaan boleh mengambil kesempatan untuk menggalakkan lebih ramai anak tempatan untuk menggantikan pekerja asing di sektor restoran dengan memberi subsidi gaji tambahan untuk setiap pekerja asing yang digantikan.

6. Disamping itu, saya bimbang bahawa ianya amat sukar untuk jumlah pelanggan ke restoran-restoran memulih ke tahap sebelum PKP selagi wabak Covid tidak dibasmikan dengan sepenuhnya.

Sebab itu, PRESMA perlu menolong ahli-ahli mereka untuk mewujudkan servis penghantaran atau berunding bersama dengan servis penghantaran sedia ada untuk mengurangkan komisen penghataran yang masih tinggi.

7. Saya difahamkan bahawa pakek rangsangan ekonomi tambahan bagi SME dan perniagaan kecil akan diumumkan minggu ini. Sama-sama kita tunggu berita baik.

Bagaimanapun, kerajaan PN perlu faham bahawa cabaran ini adalah cabaran amat luar biasa.

Sebab itu, pertolongan dari kerajaan juga perlu amat luar biasa besar serta luar biasa menyeluruh dan perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Ketepikan kebimbangan berhubung defisit negara, hutang negara atau penarafan kredit negara buat ketika ini kerana ianya melibatkan soal kelangsungan ekonomi dan Rakyat kita.

Ini bukan masa untuk kedekut, bertindak perlahan atau berkira dengan Rakyat dan pengusaha.

Kerajaan BN dahulu telah meninggalkan kekayaan negara yang besar dan inilah masa untuk menggunakan kekayaan ini untuk menyelamatkan negara.

Kita boleh membina semula kekayaan ini pada masa hadapan selepas krisis wabak Covid ini berlaku.

Kenyatan Datuk Seri Najib Razak melalui Facebooknya.