KUCHING: Sehingga hari ini, kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak ialah 95.3 peratus.

Maksudnya, masih ada yang ingkar dan tidak mahu ikut perintah kerajaan yang berkuat kuasa hingga 14 April ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak sebanyak 41 orang telah dituduh di mahkamah pada 1 April lalu.

Kenyataan itu menambah, jumlah paling tinggi tangkapan adalah di Kuching (12), Miri (7), Padawan (6), Sibu (5), Marudi (5), dan Matu Daro seorang.

“Berkuat kuasa 3 April 2020, kebenaran untuk bergerak dari daerah ke daerah hendaklah melalui balai polis daerah yang terdekat,” katanya.

Katanya, kelulusan yang telah diperoleh daripada Pejabat Daerah sebelum ini hendaklah disahkan semula di balai polis berdekatan.