PYONGYANG: Korea Utara mengumumkan negara tersebut masih bebas jangkitan wabak Covid-19.

Pengarah Antiepidemik Markas Besar Korea Utara, Pak Myong Su berkata, usaha menutup sempadan menjadi kejayaan negara itu mengelak penularan virus tersebut.

“Tiada seorang pun dijangkiti virus korona di negara kami,” kata Pak memetik AFP pada Khamis.

Korea Utara menutup pintu sempadan Januari lepas ketika kes virus pertama kali dikesan di China.

Korea Utara turut mengaku mereka mengenakan tindakan pencegahan, pemeriksaan serta kuarantin bagi mereka yang memasuki negara dan menyahkuman semua barang, serta menyekat jalan laut dan udara.

Banyak pihak meragui kenyataan Korea Utara ketika hampir semua negara di dunia melaporkan kes positif jangkitan Covid-19.

Pengkaji mengatakan Korea Utara rentan virus kerana memiliki sistem dan prasarana kesihatan yang lemah, dan mendakwa Pyongyang menutup kes positif wabak.

Komandan AS di Korea Selatan, Jenderal Robert Abrams, mengatakan beliau yakin Korea Utara memiliki kes Covid-19.

Pada Februari lalu, Kementerian Luar Rusia mengakui memberi bantuan 1,500 alat ujian diagnostik Covid-19 atas permintaan Korea Utara.

WHO mengesahkan hampir sejuta orang positif Covid-19 di seluruh dunia pada Rabu dan menewaskan lebih 45,000 orang di seluruh dunia.