KUCHING: Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion berkata seramai 430,000 rakyat Sarawak akan menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM250 untuk enam bulan.

Jelas beliau, bantuan khas Sarawakku Sayang kepada golongan B40 di Sarawak akan disalurkan ke akaun masing-masing pada setiap 15 hari bulan bermula April hingga September 2020.

“Lebih daripada 23,000 penerima bantuan yang tidak memiliki akaun bank berdaftar akan disalurkan melalui Pejabat Cawangan Perbendaharaan negeri yang berdekatan dengan tempat kediaman mereka,” jelasnya.

Ia akan dilakukan melalui dua fasa, iaitu fasa pertama dari 15 hingga 30 April ini, manakala fasa kedua hingga 30 Ogos.

Katanya, bantuan khas itu merupakan langkah kerajaan negeri untuk meringankan beban golongan B40 yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Jaul menjelaskan, senarai penerima bayaran bantuan ini merupakan senarai penerima Bantuan Sara Hidup pada bulan Januari lalu yang diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Jadi, katanya, permohonan bagi bantuan ini adalah tidak diperlukan.