KUCHING: Sarawak mencatatkan 23 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 211 kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, daripada 23 kes itu, 21 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak dan dua kes dari Hospital Sibu.

Sarawak mencatatkan satu lagi kematian, menjadikan jumlah kematian sembilan kes setakat ini.

“Kes kematian ini ialah seorang lelaki dari Kuching,” jelas kenyataan itu.

“Pada hari ini, sebanyak 91 kes baharu individu dalam siasatan (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,379 kes,” katanya.

“Daripada jumlah itu, 1,082 kes adalah negatif dan 86 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” jelasnya.

Tambahnya, PUI di Daerah Kuching adalah sebanyak 63 kes.