Saturday, October 8, 2022

Tiada kenyataan nilai sumbangan makanan berjumlah RM100 untuk golongan sasar

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menegaskan bahawa Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan nilai makanan yang disediakan hendaklah berjumlah RM100.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut telah memutuskan untuk mengguna peruntukan RM16.4 juta yang diluluskan oleh YAB Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya ingin membuat penjelasan berkaitan beberapa isu yang tular di media sosial, berkaitan nilai bantuan yang diterima oleh penerima bantuan. Terdapat beberapa kekeliruan berkenaan dengan nilai bekalan makanan yang akan diagihkan kepada rakyat.

“Untuk memberi bantuan bekalan barangan makanan asas kepada kumpulan sasar di seluruh negeri mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sarawak. Golongan sasaran yang dibekalkan dengan makanan asas ini akan ditentukan oleh jawatankuasa bencana bahagian untuk daerah, dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, pusat khidmat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan,” katanya dalam satu sidang media Skim Kredit Mikro Sarawak, Selasa.

Jelas beliau, jawatankuasa tersebut ditubuhkan adalah untuk memastikan seramai yang boleh mendapat bantuan makanan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, golongan miskin bandar dan mereka yang terputus pendapatan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, beliau turut menasihatkan para pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik (panic buying).

Pemborong dan peniaga juga dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti menyorok barangan keperluan asas terutamanya barang kawalan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru