KUALA LUMPUR: Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia dalam satu kenyataan semalam menyambut baik keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Persekutuan Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang telah menetapkan tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 23 Julai ke 8 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik Tokyo dari 24 Ogos Ke 5 September 2021.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican berkata, penetapan tarikh baharu tersebut dipercayai memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk penganjur, atlet-atlet dan pegawai dalam mengatasi cabaran yang sedang dihadapi kesan dari wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Dalam pada itu kenyataan juga menyebut, KBS menyokong usaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik (MPM) supaya pihak ICO dan IPC dapat memberi pertimbangan agar mendapat peluang kelayakan yang terbaik buat atlet-atlet negara ke temasya sukan berprestij itu nanti.

Tambah kenyataan itu lagi, KBS, MOM dan MPM akan terus bekerjasama rapat untuk memastikan kesiapsiagaan kontinjen Malaysia di tahap terbaik dalam merealisasikan impian pingat emas pertama Malaysia untuk Olimpik dan juga memastikan 3 pingat emas semasa Paralimpik Rio 2016 yang lalu dapat dikekalkan atau ditingkatkan lagi pada Paralimpik Tokyo 2020.