Kerajaan Sarawak mungkin buka lebih banyak pusat kuarantin di Kuching

0
8

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Sim Kui Hian berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah memutuskan untuk meneliti  kemungkinan membina lebih banyak pusat kuarantin bagi Kuching di sebalik jumlah kes positif Covid-19 yang meningkat di bahagian ini.

Sehingga semalam Kuching mencatatkan 88 kes positif Covid-19, sekali gus menjadikannya berada di tangga teratas di Sarawak.

Kata beliau dalam sidang media di sini semalam, antara  lokasi yang dicadangkan ialah Akademi Kastam Diraja, Institusi Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Aminuddin Baki dan Akademi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini, jelas beliau bertujuan untuk menghadapi  sebarang kemungkinan berkaitan Covid-19.

Ketika ini pusat kuarantin di Kuching terletak di Institut Kemajuan Luar Bandar Kampus Sarawak, Institut Pentadbiran Awam Negara Sarawak dan Institut latihan Guru Tun Abdul Razak.

Dr Sim turut memberitahu, polis telah menahan 276 individu yang ingkar perintah di seluruh negeri dari 18 hingga 31 Mac di bawah Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama.

Katanya lagi, 83 daripada mereka dituduh di mahkamah dengan 66 daripada mereka mengaku bersalah.