Saturday, December 3, 2022

COVID-19: Kem Belia Mukah jadi pusat kuarantin baru 

Secara Rawak

MUKAH: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Seri Fatimah Abdullah berkata satu lagi pusat kuarantin baru COVID-19 akan diwujudkan di Kem Belia Mukah.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat persiapan rapi untuk menjadikan kem berkenaan pusat kuarantin bagi zon Mukah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Bahagian Mukah Perintah Kawalan Pergerakan Semasa Wabak COVID-19 pada Selasa.

Pada sidang media itu, Fatimah menegaskan tangkapan terhadap mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mesej tegas kepada orang awam agar memandang serius wabak Covid-19.

Ujarnya meskipun pematuhan terhadap PKP di Mukah masih baik iaitu pada tahap 95 peratus namun masih berlaku tangkapan terhadap segelintir individu yang ingkar.

Untuk rekod, daerah Dalat merekod tangkapan pertama PKP di Sarawak dengan tujuh pesalah telah dipenjarakan selama dua bulan manakala dua lagi akan dibicarakan.

Sementara itu, Fatimah berkata kerajaan negeri akan memastikan golongan yang terkesan teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

Ia melalui dana tambahan berjumlah RM16.4 juta yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Openg pada Sabtu lepas.

Bagi tujuan itu, Fatimah menjelaskan jawatankuasa khas telah diaktifkan berperanan mengumpul data senarai penerima yang layak di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memudahkan proses pengagihan bekalan makanan.

Tambahnya, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga digesa memastikan stok makanan di seluruh Sarawak mencukupi sepanjang dan selepas tempoh PKP. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru