KABONG: Genap dua minggu atau lebih tepatnya 14 hari pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covod-19 dikuatkuasakan hari ini.

Namun masih juga terdapat individu yang degil atau ‘entigai’ (dialek tempatan Sarawak) dan ingkar walaupun sudah kerap kali diperingatkan oleh pihak pemerintah akan tindakan yang bakal dihadapi jika melanggar arahan yang ditetapkan.

Malam tadi tiga lelaki ditangkap polis di kawasan hadapan Perpustakaan Kabong.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin dalam kenyataan terbaharunya memberitahu lelaki berkenaan ditahan ketika sedang lepak di dalam kereta di kawasan hadapan perpustakaan pada jam 8.25 malam.

“Pada malam 30 Mac 2020 jam lebih kurang 8.25 malam anggota dari Balai Polis Kabong telah membuat rondaan di sekitar kawasan pekan Kabong dan telah menahan 3 orang lelaki berumur di antara 17 tahun hingga 30 tahun. Kesemua subjek ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Kabong untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan kerana melanggar syarat PKP menurut Sek: 186 KK / 7 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.Mereka akan didakwa di mahkamah atas kesalahan itu,” ujar Mordani.

Sehubungan dengan itu Mordani mengingatkan orang ramai bahawa memasuki fasa kedua yang juga merupakan tempoh lanjutan PKP bermula hari ini hingga 14 April pihak polis dan penguatkuasa lain yang terlibat akan bertindak lebih tegas terhadap orang ramai yang masih degil dan ingkar dengan arahan PKP yang dilangsungkan pada masa kini.

“Kamek polis jalan tugas untuk kebaikan semua ambik kitak sik kenak jangkit Covid-19. Jadi jangan ‘entigai’ jangan degil.Mun kitak kenak tangkap kitak akan masuk jel (penjara).

“Penyakit ya bahaya , mun kenak jangkit kitak sakit sik boleh diabas urang walaupun ahli keluarga kitak empun.Mun pandey mati mayat hanya orang hospital ajak akan urus. Ahli keluarga terdekat pun sik boleh ikut ke kubur. Jadi kedong belum kenak jagalah dirik kitak jangan entingai gilak. Mun kita semua akur arahan semua kita akan selamat.Ingat benar-benar ya,” ujar Mordani lagi.