KUALA LUMPUR: Ketika rakyat sedang bergelut dengan kesusahan dan kesukaran, keutamaan kerajaan adalah mencari solusi terbaik bagi merungkaikan kesukaran tersebut.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN oleh Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin yassin pada Jumaat yang berjumlah RM 250 bilion, bertujuan membantu meringankan bebanan rakyat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Saya berharap kepada semua rakyat agar tenang dan tabah menghadapi dugaan ini. Kita bersama-sama berdoa semoga pandemik COVID-19 ini akan berakhir dengan kadar segera. Kepada Allah kita berserah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

“Menjadi tanggungjawab kepada rakan-rakan di pihak pembangkang memberikan kerjasama dan dukungan kepada kerajaan bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dan tidak mempolitikkan setiap usaha yang dilakukan kerajaan,” katanya.

Bagi memastikan Pakej Rangsangan ini mencapai objektifnya, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyarankan beberapa penambahbaikan perlu menjadi pertimbangan kerajaan.

Pertama,  katanya, kaedah dan mekanisme agihan serta penyaluran bantuan setiap kementerian dan agensi terlibat perlu jelas dan terperinci bagi memudahkan rakyat berurusan.

Kedua, pangkalan data yang dimiliki oleh kerajaan berkaitan dengan penerima yang layak dan katogerinya perlu dipastikan benar-benar tepat dan terkini.

Ini jelas beliau memandangkan jumlah penerima pada kali ini adalah amat besar berbanding apa yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini menerusi pemberian BRIM dan BSH.

Beliau juga berharap rintangan birokrasi dikurangkan ketika permohonan agar segenap lapisan rakyat akan dapat menerima bantuan yang akan disalurkan oleh kerajaan tanpa perlu dibebankan dengan rintangan birokrasi yang menyusahkan mereka.