KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan mempercepat bantuan dalam Pakej Prihatin sebagaimana yang telah dibentangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu.

Merujuk kenyataan  bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berharap kerajaan menyegerakan bantuan tersebut, permudahkan dan mempercepatkan proses rayuan serta tidak kedekut seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH), Khaled  turut percaya ramai berpandangan sama dalam hal tersebut.

“Soal rakyat bawahan terjejas teruk bukan satu rekaan, kita tak mahu kesempitan mereka ini menimbulkan keadaan kacau-bilau sosial,” katanya.

Kata Khaled lagi dengan memberi contoh di Pasir Gudang, permohonan untuk dapatkan bantuan daripada Yayasan Pasir Gudang berjumlah 8,000 keluarga.

Jelasnya ini adalah kerana penutupan kilang-kilang akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dan mereka hilang punca pendapatan.

Melalui pakej berkenaan sebanyak RM250 bilion disalurkan untuk membantu rakyat.

Daripada jumlah keseluruhan, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.