SARATOK: Perkembangan terkini pada hari ke-13 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dikuatkuasa menyaksikan tiga individu ditahan polis kerana gagal mematuhi arahan tidak keluar rumah selepas jam 7 malam di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin memberitahu tiga lelaki berkenaan ditahan di kawasan tepi jalan di kawasan pekan Saratok pada jam 9.05 malam.

“Mereka ditahan kerana melanggar syarat PKP menurut Sek: 186 KK / 7 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

“Anggota dari Balai Polis Saratok telah membuat rondaan di sekitar Pekan Saratok dan telah terserempak dengan individu terbabit lalu menahan tiga orang lelaki kerana keluar selepas jam 7 malam dan melanggar arahan PKP,” ujarnya.

Tambah Mordani, rondaan turut dilakukan pihak PDRM Saratok dengan kekuatan enam anggota polis dan Rela Kabong di kawasan pekan Kabong.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan di Kabong ketika rondaan dilakukan.

“Malam tadi operasi turut dibuat di Kabong tapi tiada tangkapan kerana orang ramai di Kabong mematuhi arahan PKP yang berlangsung ketika ini,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu Mordani mengingatkan orang ramai supaya akur dengan PKP yang dilaksana bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak ke kawasan ini.