Hanya satu orang di dalam satu kenderaan. Tak boleh lebih.

Anda perlu patuhi peraturan ini.

Ya, berkuat kuasa lusa, 1 April.

Ini susulan langkah lebih ketat dari segi pengawalan di di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk fasa kedua.

Demikian ditegaskan Menteri Kanan dan juga Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya yang turut disiarkan melalui televisyen.

Mulai 1 April, jelas beliau, sekatan pergerakan akan ditingkatkan, berbeza dengan cara pada tahap pertama.

PKP fasa pertama berlangsung dari 18 Mac hingga 31 Mac. Ia kemudiannya dilanjutkan dari 1 April hingga 14 April.

Sehingga semalam, sekitar 97 peratus daripada 33 juta rakyat Malaysia akur kepada perintah berkenaan yang bertujuan untuk membendung penularan coronavirus yang telah mengorbankan 35 jiwa di negara ini setakat ini.

“Cumanya seperti yang dimaklumkan untuk kenderaan persendirian walaupun dibenarkan membeli bahan makanan dan sebagainya, tetapi kita tetapkan satu orang satu kenderaan,” katanya lagi.