KUCHING: Di sebalik begitu banyak seruan oleh pelbagai pihak dan tangkapan dibuat pihak polis, masih ada lagi yang mengambil mudah nasihat dan arahan pihak berkuasa.

Ini dibuktikan daripada  jumlah tangkapan terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  yang semakin meningkat di negeri ini.

Media melaporkan sehingga semalam 97 peratus rakyat negara ini akur kepada PKP.

Bayangkan dari jam 8 lagi semalam hingga 8 pagi tadi sahaja, seramai 67 individu ditangkap di seluruh Sarawak. 

Kebanyakan yang ditangkap ialah lelaki, iaitu 65  orang manakala dua lagi ialah wanita.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail  berkata, paling ramai ditangkap adalah di Sibu iaitu 14 orang diikuti Miri  seramai 12 orang dan Kota Samarahan, 12 orang.

Ini diikuti Bintulu (7), Padawan (6), Kuching (5), Lawas (4), Saratok (3), Betong (2), Serian (1) dan Marudi (1). 

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata,  individu terbabit ditangkap kerana tidak dapat memberi alasan yang sah untuk berada di jalan raya atau tempat awam. 

Jelas Aidi dalam kenyataan itu,  siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Kesemua suspek  boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kesemua mereka yang ditangkap dibebas dengan jamin polis,” jelasnya lagi melalui kenyataan itu. 

PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu akan berakhir pada 14 April ini.

Namun, dipercayai jika jumlah kes Covid-19 terus meningkat ia bakal dilanjutkan.