KUCHING:  Satu lagi berita palsu tular di melalui media sosial tengah-tengah kita berdepan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan perintah Kawalan Pergerakan.

Kononnya semua pasar basah di bandar raya ini akan ditutup untuk 10 hari bermula Isnin depan adalah tidak benar.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar segera menepis kenyataan tidak berasas itu.

Kenyataan itu turut meminta orang ramai agar membeli semua barang keperluan pada Ahad.

Kata Dev, berita palsu sedemikian boleh menggusarkan masyarakat. 

“Polis mengesahkan bahawa berita tentang penutupan pasar basah adalah palsu. Pasar, pasar raya, kedai runcit yang menjual barangan makanan masih dibuka dan orang ramai tidak perlu bimbang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Justeru, beliau menyeru agar dihentikan perbuatan yang suka menyebarkan berita palsu bagi menakut-nakutkan masyarakat.

Beliau memberi amaran tegas kepada mereka yang suka menyebarkan berita palsu.

“Jika polis mengesan individu-individu yang menyebarkan berita palsu, kita akan tangkap serta merta dan mereka akan berdepan dengan undang-undang,” tegasnya.